Pengenalan

Logo Program Manusia dan Biosfera (MAB)

Program Manusia dan Biosfera (MAB) yang dilancarkan pada tahun 1971 merupakan program saintifik antara Kerajaan di bawah UNESCO yang menyediakan asas saintifik untuk pengurusan, pendidikan dan penyelidikan bagi memulihara dan mengguna sumber asli secara mampan. Selain itu, ia bertujuan memperbaiki pertalian antara manusia dengan alam sekitar dengan mengimbangkan keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.

Terdapat 651 tapak rizab biosfera dari 120 negara di dunia. Malaysia menyertai Program MAB pada tahun 2009 dengan mencalonkan Tasik Chini, Pahang sebagai tapak rizab biosfera pertama di Malaysia. Pada tahun 2014, Banjaran Crocker di Sabah telah berjaya disenaraikan sebagai tapak rizab biosfera kedua Malaysia.

Fungsi Tapak Rizab Biosfera

  • Pemuliharaan dan konservasi biodiversiti
  • Menyokong pembangunan lestari
  • Sokongan logistik (sebagai pusat pembelajaran, latihan, penyelidikan dan sebagainya)

Jenis Zon

Kawasan tapak rizab biosfera dilindungi melalui tiga (3) jenis zon iaitu:

  • Zon Core: Kawasan perlindungan untuk konservasi biodiversiti. Hanya membenarkan penyelidikan dan pembangunan tanah yang berimpak rendah.
  • Zon Buffer: Kawasan ini terletak di sekeliling zon core. Aktiviti dan penggunaan sumber asli di kawasan ini perlu konsisten dengan perlindungan di kawasan zon core. Zon ini membenarkan aktiviti berkaitan dengan aspek ekologi, kajian dan eksperimen saintifik, alam sekitar serta ekopelancongan.
  • Zon Transition: Zon ini merupakan kawasan paling luar dari kawasan tapak rizab biosfera. Keutamaan bagi pelaksanaan aktiviti di kawasan ini bertumpu kepada pembangunan lestari oleh masyarakat setempat. Penggunaan tanah dan air dibenarkan tetapi harus selari dengan tujuan konservasi alam sekitar.

Rizab Biosfera Tasik Chini

Tasik Chini, Pahang yang meliputi keluasan seluas 6,922.97 hektar telah diwartakan sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia pada 26 Mei 2009. Terdapat 104 spesies pokok yang terancam, 304 spesies haiwan bukan akuatik dan 144 spesies ikan air tawar di Tasik Chini. Kekayaan sumber alam ini telah menjadikan Tasik Chini sebagai salah satu destinasi ekopelancongan di Malaysia.

Rizab Biosfera Banjaran Crocker

Banjaran Crocker, Sabah yang berkeluasan 350,584 hektar telah diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera kedua di Malaysia pada 12 Jun 2014. Kawasan ini berlandskap bukit-bukau, gunung tropika, dan hutan semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian biologi dan nilai kebudayaan. Tapak rizab biosfera ini diuruskan oleh Taman-taman Sabah.

Pengurusan

Organisasi Bertanggungjawab

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merupakan Sekretariat bagi Program Manusia dan Biosfera Malaysia. Sekretariat ini bertanggungjawab menyelaras hala tuju dan usaha-usaha memulihara rizab biosfera di Malaysia. Sekretariat juga merupakan urus setia kepada Jawatankuasa Kebangsaan Program Manusia dan Biosfera yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Jawatankuasa Kebangsaan ini dibantu oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal Program Manusia dan Biosfera.

Prosedur Pencalonan

Rajah prosedur pencalonan tapak rizab biosfera

  1. Kelulusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri
  2. Sekretariat Program Man and Biosphere Malaysia
  3. Memorandum Jemaah Menteri
  4. Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia
  5. UNESCO
  6. Jawatankuasa Penasihat Rizab Biosfera UNESCO
  7. International Coordinating Council of MAB Program

Carta Alir Struktur Pengurusan

Carta alir struktur pengurusan Program Manusia dan Biosfera

  1. International Coordinating Council of Man and Biosphere Program, UNESCO
  2. Jawatankuasa Kebangsaan Program Manusia dan Biosfera (NatCom MAB)
  3. Jawatankuasa Teknikal Program Manusia dan Biosfera (TWG MAB)
  4. Sekretariat Program Manusia dan Biosfera (NRE)
  5. Jawatankuasa Tapak Rizab Biosfera (Kerajaan Negeri)
  6. Pengurusan Tapak Rizab Biosfera
Perlukan bantuan?
Tanya saya!

Agen Lestari
Agen Lestari