Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut Mudah Terbakar untuk Mengatasi Jerebu dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mencegah dan mengawal risiko kebakaran di kawasan tanah gambut yang sering terbakar.
Kebakaran Tanah Gambut
Kebakaran tanah gambut di dalam ekosistem tropika merupakan masalah alam sekitar yang utama di Malaysia mahupun Asia Tenggara. Kejadian kebakaran tanah gambut didapati sering berlaku setiap tahun khususnya pada musim kemarau. Pembakaran biojisim tanah gambut menghasilkan habuk, abu, debu dan asap merentasi sempadan. Keadaan ini dilihat serius kerana jika tidak ditangani ianya boleh memberi implikasi buruk ke atas masyarakat dan persekitaran.
Punca Kebakaran
- Pembukaan tanah gambut bagi aktiviti pertanian dan perladangan: kaedah tradisi lama ini biasa melibatkan proses pengeringan melalui saliran parit dan "tebang dan bakar";
- Pembangunan sistem saliran tidak terancang: dengan mengalihkan aliran air gambut dan pembukaan tanah gambut untuk pembinaan jalan raya, perumahan, infrastruktur berimpak tinggi, perlombongan, pertanian dan lain-lain;
- Punca api dari puntung rokok dan unggun api: angin sebagai faktor penggalak merebakkan api;
- Persekitaran tanah gambut kering: akibat kurang litupan vegetasi bagi mengekalkan kelembapan persekitaran tanah gambut; dan
- Aktiviti rekreasi seperti perkemahan, memancing dan sebagainya juga boleh menyumbang kepada kebakaran tanah gambut.
Iklim dan cuaca menjadi faktor sokongan terhadap berlakunya kebakaran tanah gambut secara skala besar ketika musim panas. Kekeringan dan kelembapan adalah parameter utama berlakunya kejadian kebakaran tanah gambut. Dari bulan Mei hingga September, Malaysia mengalami monsun barat daya, dengan keadaan cuaca kering diiringi oleh tiupan angin lagi membantu kebakaran tanah gambut cepat merebak dan sukar dikawal, terutama apabila kejadian El-Niño berlaku.
Kesan
Kesan-kesan Kebakaran Tanah Gambut dan Pembakaran Terbuka
- Udara menjadi kotor akibat bertambahnya kumin-kumin pepejal atau habuk, karbon dioksida dan lain-lain bahan pencemar, mengakibatkan keadaan persekitaran berjerebu;
- Jarak penglihatan berkurangan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya, pesawat penerbangan dan kapal-kapal;
- Kos perubatan yang meningkat dan gangguan kesihatan (lelah, bronkitis, alahan, radang paru-paru, sakit mata dan kulit) terutamanya kepada bayi, kanak-kanak, orang tua dan pesakit lelah;
- Kemerosotan industri pelancongan yang memberi kesan kepada ekonomi dan pertukaran wang asing;
- Proses pengajaran dan pembelajaran terganggu akibat penutupan sekolah;
- Produktiviti pertanian berkurangan dan aktiviti harian terganggu;
- Kemusnahan hutan dan kepelbagaian biologi; dan
- Kemusnahan harta benda dan ekonomi.
Tanah Gambut
Profil Tanah Gambut
- Terbentuk daripada pereputan bahan organik (daun, ranting, kayu dan lain-lain) yang berlaku secara perlahan (lebih beribu tahun) di atas permukaan dasar lempung atau pasir.
- Kandungan bahan organik biasanya melebihi 65% daripada jumlah berat tanah dengan ketebalan lapisan organik melebihi 50 cm.
- Kedalaman tanah gambut berbeza mengikut kawasan dan kebiasaannya, tanah gambut berhampiran dengan pinggir bukit lebih cetek berbanding di bahagian tengah kawasan.
- Bahan organik separa reput ini menjadikan air gambut berasid (pH 3–5) dan berwarna perang atau hitam.
Kepentingan Tanah Gambut
Secara semula jadi, paya gambut mempunyai komposisi 10% bahan organik dan 90% air.
- Pemuliharaan kepelbagaian biologi: hutan paya gambut memberi sokongan terhadap kepelbagaian biologi dan menyediakan sumber makanan, air dan habitat kepada tumbuh-tumbuhan, mamalia, ikan dan lain-lain.
- Pengaturan air: fungsi penyimpanan air membantu mengekalkan paras air dan berperanan sebagai kawalan banjir untuk komuniti dan ekosistem hiliran.
- Penyimpanan karbon dan pengawalaturan iklim: hutan paya gambut yang sihat dapat mengumpul dan menyimpan karbon secara aktif, mengimbangi (pada tahap tertentu) pembebasan karbon dari bahan api fosil.
- Mata pencarian: komuniti berhampiran kawasan gambut mendapat manfaat daripada hasil hutan bukan kayu seperti ikan, daun mengkuang, daun palas, buah-buahan, tumbuhan ubatan dan tanaman hiasan.
- Ekopelancongan dan rekreasi: hutan paya gambut berpotensi dipromosikan sebagai kawasan rekreasi seperti memancing, merentas hutan dan destinasi ekopelancongan.
- Penyelidikan dan pendidikan: ekosistem paya gambut dapat merekodkan perubahan vegetasi dan iklim di dalam lapisan tanah gambut.
Malaysia memiliki kawasan tanah gambut seluas 2.56 juta hektar, meliputi kira-kira 7.74% muka bumi negara ini. Hutan paya gambut juga merupakan jenis hutan kedua terbesar selepas hutan darat.
Program dan Infrastruktur
Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut Mudah Terbakar untuk Mengatasi Jerebu telah dilaksanakan dari tahun 2009 hingga Mei 2018 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), dan diteruskan oleh JAS selepas itu. Melalui program ini, lima (5) jenis infrastruktur telah dibangunkan bagi mencegah dan mengawal risiko kebakaran di kawasan tanah gambut yang sering terbakar di tujuh buah negeri iaitu Johor, Kelantan, Pahang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
- Sekatan Saliran (SS): benteng atau empangan penghadang yang merentasi saliran atau parit untuk memulihkan sistem hidrologi tanah gambut, memperlahankan pengeluaran air gambut, dan menakung air sebagai sumber pemadaman kebakaran.
- Telaga Tiub (TT): struktur bawah tanah yang mengeluarkan air dari akuifer untuk membasahkan kawasan tanah gambut kering (rewetting) dan membekalkan air ketika operasi pemadaman.
- Menara Tinjau (MT): struktur setinggi 70–100 kaki untuk pemantauan 360° kawasan tanah gambut menggunakan teropong dan dron.
- Kolam Takungan (KT): kolam yang menakung dan membekalkan air sepanjang masa untuk pemadaman kebakaran dan pembasahan tanah gambut ketika musim panas.
- Saluran Paip Air (SPA): pemasangan paip High Density Polyethylene (HDPE) untuk menyalurkan air dari kawasan takungan ke kawasan sering terbakar yang sukar dimasuki.